Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melepaskan konvoi pada Program Ops Mega Pembersihan Insiden Letupan Paip Gas di Arena MBSJ, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 12 APRIL 2025

SUBANG JAYA – Seramai 2,095 petugas digerakkan secara besar-besaran ke dua lokaliti utama yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas baru-baru ini, iaitu di Kampung Kuala Sungai Baru dan Putra Heights.

Program gotong-royong mega ini diketuai oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bersama Kerajaan Negeri Selangor dan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang turut turun padang memantau sendiri kelancaran operasi.

“Fokus kita hari ini adalah di Kampung Kuala Sungai Baru kerana Putra Heights telah mula dibersihkan kira-kira seminggu lalu setelah kawasan itu dibuka semula oleh pihak polis.

“Sekarang ini, kerja-kerja pembersihan lebih tertumpu kepada kawasan awam yang terkesan serta membantu pemilik rumah membersihkan kediaman masing-masing,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan ‘Ops Mega Pembersihan’ di Arena Majlis Bandaraya di sini, hari ini.

Daripada jumlah keseluruhan yang terlibat hari ini, seramai 600 merupakan sukarelawan, manakala selebihnya melibatkan 1,495 anggota daripada pelbagai agensi dan institusi luar.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga memainkan peranan penting dalam menyelaraskan kehadiran petugas daripada institusi pengajian tinggi.

Operasi ini turut disokong oleh penggunaan 144 unit jentera dan kenderaan seperti lori water jetter, tangki air, Roll-On-Roll-On (RORO), backhoe, road sweeper, skylift dan mesin pencincang kayu bagi mempercepat kerja-kerja pembersihan.

Ops Mega Pembersihan adalah kolaborasi antara pelbagai jabatan kerajaan termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Daerah Petaling, PDRM, ATM, JBPM, JKR, KDEB Waste Management (KDEBWM), dan 11 lagi Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor.

Selain itu, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan SWCorp, serta syarikat konsesi seperti Alam Flora, Southern Waste dan E-Idama turut menyertai operasi, bersama sukarelawan SERVE daripada Majlis Sukan Negeri Selangor.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dan menyatakan harapan agar operasi dua hari ini dapat menyelesaikan kerja-kerja pembersihan awam serta meringankan beban penduduk yang telah mula pulang ke rumah masing-masing sejak awal minggu ini.

Hari kedua operasi dijangka menyaksikan penglibatan lebih ramai petugas dengan jumlah pendaftaran telah mencecah 2,106 orang.

MBSJ turut mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi arahan pihak berkuasa dan hanya mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar dan menyeluruh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here