Saturday, April 12, 2025
Home Nasional Anwar hadiri mesyuarat khas Pembangunan Negeri Kelantan

Anwar hadiri mesyuarat khas Pembangunan Negeri Kelantan

Foto Facebook Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghadiri mesyuarat khas Pembangunan Negeri Kelantan bagi tahun 2025 di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan.
Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan pagi ini disambut Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bersama beberapa ahli Exco dan pengurusan tertinggi kerajaan negeri.
Menerusi Facebook miliknya, Anwar berkata, beliau singgung dengan kepentingan memperhebat dan melicinkan lagi projek rakyat yang menjadi keutamaan, khususnya untuk impak pembangunan ekonomi dan kemajuan bersama-sama.
“Perbincangan terarah kepada faktor yang boleh dipertimbang dalam menyegerakan projek seperti rancangan tebatan banjir supaya tidak membebankan rakyat sehingga melibatkan penambahan kos serta kerugian kewangan.
“Justeru, saya mengingatkan, perlunya pemantauan pelaksanaan projek, termasuk status ‘projek sakit’ supaya siap dalam tempoh ditetapkan hatta mencapai prestasi yang membanggakan.
Foto Facebook Anwar Ibrahim.
“Moga kepedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat di Kelantan ini terus menjadi keutamaan dan diuruskan sebaiknya,” tulisnya.
Turut mengiringi beliau dalam perjumpaan tertutup itu ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Mesyuarat khas yang berlangsung hampir sejam itu turut disertai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Selepas mesyuarat tersebut, Anwar dijadualkan menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 peringkat negeri Kelantan di Pantai Irama, Bachok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here