KUALA LUMPUR – Gurdwara Sahib Sentul menyambut baik seruan kerajaan agar masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk memupuk semangat perpaduan dan saling menghormati antara satu sama lain.
Presidennya, Datuk Rajpal Singh berkata, sebagai anak kelahiran tempatan, keharmonian itu sudah lama dipupuk sejak kemerdekaan negara dan semangat itu harus terus dipupuk dalam kalangan generasi anak muda hari ini.
“Kita kena hidup harmoni sesama sendiri, kita semua orang Malaysia, saya pun beranak sini, semua kaum beranak di sini, sudah tiga ke empat generasi.
“Kita merdeka pun sudah lebih 60 tahun, jadi kena berharmonilah, perpaduan itu penting. Kedua-dua faktor ini penting untuk memastikan kestabilan negara,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadhilla Yusof hadir ke jamuan tengah hari bersama penganut Sikh sempena perayaan Hari Vaisakhi di Dewan Serbaguna Pusat Sikh Malaysia di Gurdwara Sahib Sentul.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran.
Selain itu, Rajpal melahirkan rasa terharu dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri dan ia membuktikan kerajaan sedia mendengar dan mengambil berat kebajikan bukan Islam khususnya kebajikan rumah ibadat.
“Kami amat gembira apabila TPMII sudi meluangkan masa meraikan Hari Vaisakhi bersama masyarakat Sikh walaupun jadual beliau sememangnya padat dan sibuk dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Dalam pada itu, Rajpal berkata, pihaknya memohon jasa baik Fadillah untuk memberi bantuan berbentuk panel solar bagi dipasang di rumah ibadat itu.
“Kami meminta pertolongan kepada TPMII yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia untuk membekalkan panel solar secara subsidi untuk Gurdwara atau mana-mana tempat sembayang.
“Beliau berkata, Kementerian memang sedang berbincang tentang perkara tersebut,” katanya

Menjelang sambutan Hari Vaisakhi pada 14 April ini, beliau menggesa semua lapisan masyarakat untuk hadir menjamu selera di Gurdwara Sahib Sentul yang menyediakan hidangan halal termasuk orang Islam.
“Kita jamu dengan menghidangkan makanan vegetarian yang semua kaum boleh datang dan makan.
“Tidak timbul isu halal atau tidak, kerana makanan vegetarian kita tak masak apa-apa daging dalam rumah ibadat Gurdwara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette