KOTA BHARU – Seorang lelaki berusia 33 tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan treler di Kilometer 37 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 8.40 pagi daripada Pusat Kawalan Daerah Gua Musang.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 8.15 pagi, ketika mangsa yang menunggang motosikal dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang, memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah treler.
“Mangsa dipercayai menunggang dalam keadaan laju dan sempat menoleh ke belakang sebelum perlanggaran berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat daripada perlanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya. – Bernama