Anwar.

BUTTERWORTH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak bergerak secara bersendirian dalam menangani cabaran ekonomi global, khususnya isu tarif yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Jelas beliau, pendekatan Malaysia kini adalah menggerakkan kekuatan sebagai satu entiti bersama negara-negara ASEAN dalam menghadapi cabaran seperti peralihan tenaga, perubahan ekonomi dan tekanan tarif global.

“Maka kita guna kekuatan Malaysia iaitu hubungan baik dengan Amerika, dengan Europa, hubungan baik dengan negara China, dan dengan negara jiran ASEAN.

“Kita memanfaatkan kekuatan hubungan diplomatik negara serta pentingnya kerjasama serantau melalui ASEAN.

“Saya dah hubungi semua kawan-kawan saya negara ASEAN. Semuanya berpakat dia (negara ASEAN) kata, teruskan usaha, cari jalan atas nama dan semangat 10 negara ASEAN dan ini sangat baik. Jadi kita bukan gerak sebagai Malaysia, kita gerak sebagai satu kekuatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen PICCA@Arena di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Anwar menyeru semua pihak untuk tidak mengalah, sebaliknya menggunakan krisis sebagai peluang memperkukuh ekonomi negara, berasaskan teori Joseph Schumpeter “creative destruction” iaitu cari jalan untuk bangkitkan semula.

Anwar hadir Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena, Pulau Pinang hari ini.

“Kita boleh mengeluh, mengalah atau pilih untuk  cari jalan baru. Malah, untuk menjadi contoh yang baik dalam ASEAN, Malaysia perlu membanteras kelemahan dalaman seperti rasuah dan ketidakcekapan.

“Malaysia mesti aman, ekonomi mesti stabil, dasar ekonomi mesti jelas, rakyat mesti gigih-gigih bekerja dan berbaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Amalan-amalan buruk, kemalasan, kelulusan lambat, rasuah, itu mesti kita hentikan.

“Keberanian membawa perubahan adalah syarat utama untuk memacu negara ke hadapan, walaupun terdapat pihak yang tidak senang dengan kejayaan yang dikecapi dan kalau ini berlaku, saya percaya insyaAllah kita boleh bawa perubahan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut melahirkan kebimbangan terhadap Pulau Pinang yang merupakan negeri eksport bahan semikonduktor tertinggi iaitu mencecah RM200 bilion yang mana 65 peratus ke AS.

Khamis lalu media melaporkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menurunkan kadar tarif baharu ke atas import daripada kebanyakan rakan dagang AS kepada 10 peratus selama 90 hari untuk membenarkan rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya.

Trump mengumumkan jeda itu beberapa jam selepas barangan dari hampir 90 negara dikenakan tarif timbal balik yang lebih ketat oleh AS.

Kata Trump, beliau membuat keputusan itu selepas lebih 75 negara menghubungi pentadbirannya untuk berunding dan tidak mengambil tindakan balas terhadap AS.

Ini bermakna, hanya kadar tetap tarif 10 peratus ke atas semua negara yang bermula pada hari Sabtu akan terus dikekalkan.

Sebelum ini, negara anggota Indo-china di rantau ASEAN antara paling teruk terjejas ekoran tarif itu dengan Kemboja pada 49 peratus, diikuti oleh Laos (48 peratus), Vietnam (46 peratus) dan Myanmar (44 peratus).

Thailand dikenakan tarif 36 peratus, Indonesia (32 peratus), Brunei dan Malaysia masing-masing pada 24 peratus, Filipina (17 peratus) manakala Singapura dikenakan tarif asas 10 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here