KUALA LUMPUR – Kes kemalangan maut di seluruh negara sepanjang tempoh Op Selamat 24 sempena sambutan Aidilfitri bermula 29 Mac hingga 3 April, merekodkan penurunan sebanyak 41 peratus.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah kemalangan maut menurun kepada 77 kes berbanding 131 kes tahun lepas.
“Alhamdulillah, turut berkurangan ialah jumlah kematian akibat kemalangan dengan merekodkan 85 kematian menurun sebanyak 59 kematian, bersamaan 41 peratus berbanding 144 kematian pada tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penganugerahan Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata kemalangan jalan raya meningkat sebanyak 408 kes bersamaan empat peratus iaitu sebanyak 9,859 kes berbanding 9,451 kes pada tahun lepas.
“Jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia juga semakin meningkat sehingga mencecah lebih 36.6 juta turut menyumbang kepada peningkatan jumlah kenderaan terlibat kemalangan dalam Op Selamat edisi ini,” katanya.
“Penguatkuasaan undang-undang menerusi sekatan jalan raya di lokasi-lokasi kerap berlaku kemalangan maut, merupakan antara langkah pencegahan yang berkesan dalam mengurangkan jumlah kemalangan di lokasi terlibat,” katanya.
Ayob Khan berkata, sejumlah 91,727 saman telah dikeluarkan di seluruh negara, meningkat sebanyak 1,087 saman bersamaan satu peratus berbanding 90,640 saman semasa Op Selamat 22.
Ayob Khan berkata, Op Selamat kali ini turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan harta benda dan premis yang ditinggalkan.
“Sepanjang tempoh terbabit, sebanyak 12,773 pemakluman “Balik Kampung” diterima berbanding 10,869 pemakluman pada Aidilfitri tahun lepas, dengan sejumlah 76,274 rondaan dijalankan iaitu meningkat 27 peratus berbanding 55,837 rondaan semasa edisi sebelumnya.
“Rondaan melibatkan elemen termasuk 37,429 rondaan Multi Purpose Vehicle (MPV), 14,176 rondaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), 20,311 rondaan melibatkan elemen balai dan 4,358 lain-lain rondaan,” katanya.
Sebelum ini, seramai 6,957 anggota dan pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan 2,742 anggota dan pegawai Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), terlibat secara langsung dengan Op Selamat 24. – Bernama