Kesemua tong LPG itu dirampas untuk tindakan lanjut.

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kegiatan penyelewengan Gas Petroleum Cecair (LPG) di sebuah premis di sini, semalam.

Serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN negeri bermula kira-kira jam 3 petang itu adalah hasil susulan maklumat yang diterima daripada orang awam berkaitan aktiviti urus niaga barang kawalan tanpa kebenaran.

Pengarahnya, R. Jegan berkata, pemeriksaan awal ke atas lokasi serbuan mendapati bahawa premis tersebut telah menjalankan perniagaan tanpa memiliki lesen atau permit yang dikeluarkan oleh pengawal bekalan untuk berurus niaga gas petroleum cecair (LPG).

“Semasa pemeriksaan dijalankan, pasukan penguat kuasa menemui 126 tong gas LPG bersaiz 14kg dan 12kg, yang terdiri daripada tong kosong serta tong yang masih berisi dengan jumlah berat 444kg.

Turut disita dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.

 “Kita sita kesemua tong gas LPG tersebut dengan keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 10,923.

“Selain itu, kita turut merampas beberapa dokumen berkaitan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Jegan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti seumpama ini.

“Penguatkuasaan ini akan diteruskan bagi memastikan barang kawalan dikendalikan dengan betul dan tidak disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kita juga mohon kerjasama orang ramai agar sentiasa melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here