LONDON – Mohamed Salah akhirnya menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool sekaligus menamatkan spekulasi berbulan-bulan mengenai masa depannya.
Pemain antarabangsa Mesir itu akan menerima gaji baharu RM2.17 juta seminggu berbanding gaji lama RM2.02 juta seminggu.
Dia pernah memenangi trofi Liga Juara-Juara dan EPL sepanjang kariernya di Anfield dan membantu Liverpool semakin hampir meraih gelaran liga utama England yang ke-20.
Salah menjaringkan 27 gol dan mencipta 17 bantuan gol di EPL musim ini dan kini meletakkan pasukan kendalian Arne Slot sebanyak 11 mata di hadapan dengan berbaki tujuh perlawanan.
“Sudah tentu saya sangat teruja kerana kamimempunyai pasukan yang hebat sekarang. Saya menandatangani kontrak ini kerana saya rasa kami berpeluang memenangi trofi-trofi lain,” kata Salah dalam kenyataan kelab. – Agensi