Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama sukarelawan yang terdiri kakitangan kerajaan negeri Selangor pada Program Ops Mega Pembersihan Insiden Letupan Paip Gas di Arena MBSJ, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 12 APRIL 2025

SUBANG JAYA – Kampung Kuala Sungai Baru menjadi antara lokasi paling mencabar dalam usaha pembersihan pascakebakaran saluran paip gas di kawasan Putra Heights pada 1 April lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kelewatan mendapatkan kebenaran untuk memasuki kawasan serta keadaan perumahan yang tidak tersusun menyukarkan kerja-kerja pemulihan untuk dijalankan.

“Berbeza dengan kawasan-kawasan perumahan lain seperti Taman Putera Heights dan Putra Harmoni yang mempunyai susun atur yang sistematik dan dibina mengikut piawaian perbandaran, Kampung Kuala Sungai Baru dibangunkan sendiri oleh penduduk secara berperingkat selama beberapa tahun.

“Tiada pelan pembangunan rasmi, dan struktur binaan yang pelbagai menjadikan kampung ini sukar diakses dan lebih terdedah kepada kerosakan apabila berlaku bencana,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan ‘Ops Mega Pembersihan’ di Arena Majlis Bandaraya di sini, hari ini.

Menurutnya, kerja pembersihan tidak dapat dimulakan lebih awal kerana pihak polis dan bomba hanya memberikan kebenaran kepada pasukan bantuan untuk memasuki kampung tersebut kira-kira dua hingga tiga hari yang lalu.

“Faktor keselamatan menjadi keutamaan, memandangkan beberapa bahagian kampung itu dikategorikan sebagai berisiko tinggi susulan kerosakan akibat letupan dan kebakaran yang melanda.

“Kini, selepas kebenaran diberikan, pasukan sukarelawan digerakkan secara besar-besaran ke kawasan itu,” tambahnya.

Buat masa ini, pembersihan hanya tertumpu di luar rumah, dan hanya dilakukan di dalam rumah sekiranya diminta oleh pemilik.

Keutamaan diberikan untuk membersihkan tanah, batu, dan serpihan yang terlepas dari zon kebakaran utama.

“Walaupun usaha digandakan, pasukan penyelaras menjangkakan bahawa kerja-kerja pembersihan menyeluruh akan mengambil masa yang lebih panjang berbanding kawasan-kawasan lain yang telah selesai lebih awal.

Struktur binaan yang tidak kukuh dan tersusun di Kampung Kuala Sungai Baru turut menyebabkan kerosakan yang lebih parah berbanding di kawasan lain.

Operasi pembersihan di Kampung Kuala Sungai Baru dijalankan dengan kekuatan 10 kali ganda lebih ramai berbanding operasi sebelum ini di Putra Harmoni.

Sebelum ini, sekitar 100 anggota berjaya menyelesaikan hampir 90 peratus kerja pembersihan di Putra Harmoni dalam masa seminggu, tetapi jumlah sukarelawan yang lebih besar diperlukan di Kampung Kuala Sungai Baru kerana keluasan kawasan serta jumlah sisa yang jauh lebih banyak.

Beliau turut menjangkakan bahawa kerja pembersihan di situ akan mengambil masa beberapa hari lagi sebelum fasa seterusnya iaitu pengagihan bantuan sewa dan baik pulih rumah dapat dimulakan sepenuhnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here