TAPAH – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pasti Sosialis Malaysia (PSM).
BN mempertaruhkan Setiausaha UMNO Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54; manakala PN pula mempertaruhkan Yang Dipertua PAS Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44 dan PSM Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS.
Mereka diumum sebagai calon layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Ayer Kuning, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori sebaik selesai proses penamaan calon pada jam 10 pagi tadi di Dewan Merdeka, di sini.
Ahmad Redhauddin mengumumkan pihaknya menerima pencalonan calon PN, Abd Muhaimin pada jam 9.01 pagi, disusuli calon BN, Dr Mohamad Yusri pada jam 9.06 pagi dan calon PSM, Bawani KS jam 9.15 pagi.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 26 April dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April depan.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). – MalaysiaGazette