Mohd Jafni menyampaikan sumbangan duit raya kepada tetamu dalam Majlis Rumah Terbuka ADUN Bukit Permai di Dewan Raya Putra, Kulai semalam.

KULAI – Johor memperketat pemantauan kerja-kerja pembinaan dan pembangunan berhampiran kawasan paip gas bagi memastikan insiden di Putra Heights, Selangor tidak berlaku di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, bagi merealisasikannya perlu ada pihak bertanggungjawab di lokasi bagi memantau kerja tersebut dilakukan.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memastikan semua senarai semak dipatuhi oleh pihak kontraktor, lebih-lebih lagi apabila kerja-kerja itu diserahkan kepada subkontraktor.

“Jika kerja di tapak dipantau dengan baik seperti mana spesifikasi yang ditetapkan, Insya-Allah perkara seperti di Putrat Heights dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai di Dewan Raya Putra di sini semalam.

Mohd Jafni berkata, Johor mempunyai dua kawasan utama yang menjadi tumpuan industri petrokimia melibatkan penggunaan paip gas iaitu di Pasir Gudang dan Pengerang.

Katanya, kelulusan pemasangan paip gas di dua kawasan itu telah diluluskan sejak 2015 dan sehingga kini tidak pernah berlaku sebarang insiden serius.

“Setakat ini, semuanya diselenggara dengan baik. Petronas bersama PBT terlibat sentiasa menjalankan pemeriksaan berkala untuk memastikan aspek penguatkuasaan dipatuhi,” katanya.

Tambahnya, proses kelulusan pemasangan paip gas melibatkan lebih 10 jabatan antaranya Unit Perancang Ekonomi, Pejabat Tanah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Ranhill SAJ, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Mineral dan Geosains.

“Daripada segi kelulusan teknikal, semua gerak kerja sudah mengikut dasar dan syarat ditetapkan tetapi masalah akan berlaku di tapak apabila kontraktor menjalankan kerja tanpa pemantauan rapi.

“Sebab itu penting ada individu yang bertanggungjawab di tapak pembangunan bagi memastikan kerja dilakukan mengikut spesifikasi. Ia penting kerana paip gas melibatkan isu keselamatan peringkat tertinggi,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here