BUKIT MERTAJAM – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) merancang mewujudkan Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerja bagi menyediakan kemudahan menyeluruh bagi menyelesaikan pelbagai isu berkaitan buruh di bawah satu bumbung.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pusat sehenti itu akan menyatukan semua perkhidmatan berkaitan tenaga kerja bagi mengelakkan pekerja atau majikan daripada perlu mengunjungi pelbagai jabatan berbeza.
“Saya akan membuat pengumuman tidak lama lagi mengenai pelan KESUMA untuk menubuhkan sebuah Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerja bagi menjaga kebajikan para pekerja di negara ini.

“Kita percaya dengan kewujudan pusat sehenti ini sebarang isu berkaitan pekerja sama ada daripada pekerja sendiri atau majikan mereka tidak perlu lagi pergi ke jabatan-jabatan lain seperti JTK, Pejabat Buruh, JPP, Mahkamah Perusahaan, JHEKS dan PERKESO.
“Kita akan gabungkan semua perkhidmatan ini di bawah satu bumbung bagi memudahkan pekerja dan juga majikan, termasuk pengurus sumber manusia. Jika ada isu berkaitan buruh di negara ini, mereka boleh terus ke pusat sehenti tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Pulau Pinang di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng dan barisan pimpinan negeri.
Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, Pulau Pinang akan menjadi permulaan kepada pendekatan baharu ini dalam memperkasa sistem sokongan kepada pekerja.
“Pusat sehenti ini akan diwujudkan di seluruh negara namun projek perintis ini akan dimulakan di Pulau Pinang dan saya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri (Pulau Pinang) berhubung perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette