KUALA LUMPUR – Perkhidmatan van Rapid KL On-Demand secara percuma yang disediakan untuk mangsa tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights ditamatkan hari ini berikutan penutupan Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Masjid Putra
Heights.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berkata, sejak mula beroperasi pada 3 April 2025, perkhidmatan ini telah memberi manfaat kepada lebih dari 1,100 orang yang terdiri daripada mangsa, sukarelawan serta agensi kerajaan.
Menurutnya, perkhidmatan ini menyediakan kemudahan pengangkutan dari PPS ke kawasan kediaman sekitar Putra Heights, Kampung Puchong Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru bagi mendapatkan barangan keperluan mahupun dokumen penting mereka serta membantu dalam kerja-kerja pembersihan rumah-rumah mangsa.
Inisiatif di bawah program Prasarana Prihatin ini melibatkan penggunaan 10 buah van, dengan penglibatan seramai lebih kurang 50 orang petugas merangkumi kapten bas, pegawai pengawal trafik kanan, pasukan penguatkuasaan dan anggota polis bantuan
yang telah ditugaskan bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa gangguan.
Selain itu, Prasarana turut memperluaskan perkhidmatan ini dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran anak-anak mangsa ke sekolah, menggunakan lima buah van khas yang beroperasi setiap hari mulai Isnin sehingga Jumaat lalu ke 19 buah sekolah di sekitar kawasan Putra Heights, USJ, Seafield dan Shah Alam.
Inisiatif ini telah mendapat sambutan positif daripada ibu bapa dan penjaga, sekali gus memastikan pendidikan anak-anak mangsa tidak terjejas sepanjang tempoh penempatan di PPS dan seramai 103 pelajar telah mendapat manfaatnya.
“Secara keseluruhan, sambutan daripada mangsa amat menggalakkan dan mereka menzahirkan rasa syukur atas bantuan mobiliti yang disediakan.
“Pihak berkuasa tempatan turut memberikan maklum balas yang amat positif terhadap kecekapan serta komitmen Prasarana dalam membantu komuniti yang terkesan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Prasarana turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan inisiatif ini, termasuk Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pasukan Selangor Volunteer (SERVE) serta anggota keselamatan dan sukarelawan.
Katanya, sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam negara, Prasarana komited terus menabur bakti melalui inisiatif tanggungjawab korporat, sejajar dengan hasrat untuk memperkukuh peranan sebagai rakan mobiliti rakyat yang prihatin. – MalaysiaGazette