KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil menafikan beliau bertanggungjawab membuat keputusan pengambilan tanah Kampung Sungai Baru.
Muhyiddin mendakwa difitnah oleh individu tertentu yang mendakwa proses pengambilan tanah yang berlaku pada Jun 2021 ketika negara dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh semasa penularan Covid-19.
“Saya telah ditohmah bertanggungjawab membuat keputusan pengambilan tanah Kampung Sungai Baru. Keputusan pengambilan tanah tersebut yang dibuat di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak melibatkan saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu.
“Sebaliknya ia melalui proses di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 di mana keputusan mengenainya dibuat oleh pihak berkuasa tanah Wilayah Persekutuan,” ujar Muhyiddin dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan, sekiranya pengambilan tanah tersebut tidak dibuat mengikut lunas undang-undang, penduduk boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap perkata tersebut.
“Jika pengambilan tanah tersebut tidak dibuat mengikut lunas undang-undang, mahkamah boleh menentukan hak-hak pihak yang terjejas,” katanya lagi.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video yang memaparkan penduduk minoriti Kampung Sungai Baru melahirkan rasa kecewa terhadap proses pengambilan tanah yang berlaku pada Jun 2021 ketika negara dalam fasa PKP penuh.
Dalam video berdurasi 50 saat itu, mereka mendakwa warta pengambilan dikeluarkan pada 18 dan 21 Jun tanpa makluman awam yang telus dalam keadaan rakyat langsung tidak dibenarkan keluar rumah.
Individu berkenaan bagaimanapun tidak menyebut nama Muhyiddin dalam video berkenaan.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.
Disember tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan.
Jelas beliau, proses pengambilan tanah berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) bagi 110 unit yang melibatkan 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah selesai sepenuhnya pada Ogos 2023.
Bayaran pampasan ke atas pengambilan tanah juga sudah diberikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) kepada pihak berkepentingan secara berperingkat pada Februari 2022 hingga Januari 2023.
Terbaharu, penduduk unit flat yang terlibat dengan APT 1960 menerima notis pengosongan premis menjelang beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu. – MalaysiaGazette