JOHOR BAHRU – Niat seorang lelaki untuk membantu selepas melihat satu kemalangan tidak kesampaian apabila dia turut maut dirempuh kereta mewah dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku pukul 2.10 pagi apabila seorang lelaki warga Myanmar, 30-an, menunggang motosikal SYM BX110 dari Johor Bahru menghala ke Taman Setia Tropika.
“Penunggang motosikal tersebut kemudian hilang kawalan dan terbabas di lorong kanan jalan. Akibat kemalangan itu, penunggang terbabit cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa yang berusia 37 tahun kemudian datang membantu dengan menjaga laluan bagi mengelakkan mangsa warga asing tersebut dilanggar kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, mangsa yang cuba membantu itu kemudian dilanggar sebuah kereta BMW dipandu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun sehingga menyebabkannya cedera parah dan maut di tempat kejadian.
Pemandu BMW berkenaan yang berusia 25 tahun pula mengalami kecederaan ringan di muka dan siasatan mendapatinya memandu di bawah pengaruh alkohol.
Menurutnya, pemandu itu ditahan dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak memandu bawah pengaruh alkohol kerana bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya yang lain.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam di talian 07-3864222 bagi membantu siasatan lanjut.- MalaysiaGazette