KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan pertukaran pengurusan Menara Kuala Lumpur walhal pengendalian operasinya sebelum ini berjalan dengan baik.
Bekas Perdana Menteri berkata, menara yang pernah menjadi mercu tanda Kuala Lumpur itu meskipun telah diswastakan, tidak seterusnya dijual kepada pihak lain.
Ujar beliau, penswastaan Menara Kuala Lumpur menjadi bukti kejayaan bumiputera dan tidak wajar hak tersebut diambil oleh pihak lain.
“Jika menara ini menghadapi masalah kerugian atau lain-lain, kita bolehlah fikir untuk menukar pengurusannya.
“Tetapi setakat yang saya tahu, tiada masalah dengan menara ini, kenapa hendak ditukar kepada orang lain? Ini yang saya tidak faham,” ujar beliau.
Bekas Perdana Menteri menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan upacara pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur di sini hari ini.
Baru-baru ini, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd. memfailkan writ saman dan permohonan injunksi ekoran pelantikan syarikat konsesi baharu yang akan menguruskan menara itu.
Pada 28 Mac lalu, Hydroshoppe Sdn Bhd, bersama anak syarikatnya, MKLSB memfailkan saman ke atas kerajaan dan beberapa pihak lain untuk menuntut ganti rugi lebih RM1 bilion.
Mereka membuat tuntutan itu susulan dakwaan penamatan perjanjian secara salah pada November 2022, termasuk lanjutan konsesi syarikat daripada 15 tahun kepada 30 tahun.
Ia berikutan keputusan kerajaan pada Mei tahun lalu menganugerahkan konsesi pengurusan menara itu kepada entiti lain iaitu LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM).
Menurut pernyataan tuntutan mereka, Hydroshoppe dan MKLSB memohon Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan perjanjian 2022 sebagai masih sah dan mengikat kerajaan.
Syarikat-syarikat itu merayu supaya mahkamah memerintahkan bahawa mereka masih berhak mendapat konsesi menara selama 30 tahun mulai 31 Disember 2022, dan bahawa kerajaan telah melakukan pecah amanah apabila memberikan kontrak kepada entiti lain. – MalaysiaGazette