GEORGE TOWN – Parti Gerakan Rakyat meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kepada rakyat kerana gagal menunaikan janji Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk memansuhkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Timbalan Presidennya, Oh Tong Keong berkata, Anwar perlu menjelaskan pendirian sebenar kerajaan sebelum menyampaikan hasrat kerajaan mengkaji semula kadar faedah dan syarat pembayaran balik pinjaman tersebut.
“Semalam Perdana Menteri menyatakan jumlah pinjaman PTPTN yang belum dibayar telah mencecah RM40 bilion dan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengkaji semula kadar faedah serta syarat pembayaran balik pinjaman tersebut, sambil menekankan perlunya keberanian untuk melakukan perubahan.
“Kenyataan Anwar itu membawa maksud bahawa beliau gagal, tidak berhasrat dan tidak berkemampuan untuk menunaikan janji PH dalam manifesto PRU14 untuk melaksanakan program pemansuhan hutang PTPTN bagi keluarga miskin dan golongan B40.
“Hanya dengan pendekatan sebegitu, barulah para peminjam berhenti menunggu dan mengharapkan PH menunaikan janji pemansuhan hutang, sebaliknya mula merancang untuk melunaskan pinjaman mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, selain mengkaji semula kadar faedah dan syarat pembayaran balik pinjaman PTPTN, kerajaan juga perlu meneliti semula prosedur pembayaran balik oleh peminjam.
“Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah mewajibkan peminjam memulakan bayaran balik melalui potongan gaji bulanan sebaik sahaja mereka bekerja untuk tempoh tertentu dan pendapatan mencecah paras yang ditetapkan.
“Kaedah ini lebih berkesan dalam memastikan peminjam melunaskan hutang mereka dengan konsisten,” katanya. – MalaysiaGazette