JOHOR BAHRU – “Masa itu ada orang datang beritahu, suami saya terbaring kena langgar dan saya terus keluar kereta. Saya nampak dia terbaring dan itulah kali terakhir saya tengok dia hidup”.
Demikian cerita sedih Suhaidah Yusof, 40, isteri kepada seorang penghantar makanan, Mohd Taufik Ariff Sariff, 37, yang maut dilanggar pemandu mabuk dalam kemalangan di Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini malam tadi.
Menurutnya, dia kemudian menghubungi adik ipar untuk memaklumkan kejadian tersebut.
Dia berkata, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Bakar Batu di sini selepas makan malam bersama-sama rakan-rakan suaminya di Desa Cemerlang.
Katanya, dalam perjalanan pulang, mereka terlihat satu kemalangan di lokasi itu dan memberhentikan kereta sebelum suaminya turun membantu mengawal lalu lintas.
“Masa itu saya yang bawa kereta dan saya masih tunggu di dalamnya tapi tiba-tiba, saya dengar satu bunyi kuat kenderaan langgar sesuatu sebelum ada orang datang beritahu suami saya kena langgar,” katanya ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.
Suhaidah berkata, mereka baru mendirikan rumah tangga tujuh bulan lalu dan ini merupakan Hari Raya Aidilfitri pertama mereka sebagai suami isteri.
“Tak sangka ini Aidilfitri pertama dan terakhir kami sebagai suami isteri. Kami sempat melakukan sesi fotografi bersama-sama. Kami sempat photoshoot raya tahun ini, gembira sangat sebab akhirnya dapat raya bersama sebagai pasangan suami isteri yang sah.
“Tapi saya tak sangka, semua itu dan gambar kami akan jadi kenangan terakhir kami berdua,” katanya.
Suhaidah berkata, tiada sebarang perubahan pelik sebelum kemalangan tersebut.
Namun pada malam Jumaat lalu, suaminya dilihat terbaring di luar rumah dan banyak termenung selain tidak banyak bercakap.
“Malam Jumaat lalu, dia cakap panas badan dan pening kepala, dia banyak terbaring dan berdiam diri tak banyak cakap. Malam semalam keluar pusing-pusing dan makan bersama kawan-kawan dia cakap hilang dah sakit kepala dia. Apa pun saya reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.
Poses bedah siasat telah selesai dan jenazah Allahyarham Mohd Taufik akan di bawa pulang ke Kota Tinggi untuk dikebumikan.
Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, Mohd Taufik dilanggar sebuah kereta jenis BMW ketika membantu mengawal lalu lintas susulan berlaku kemalangan di lokasi berhampiran stesen minyak Taman Desa Jaya.
Akibat perlanggaran itu, Mohd Taufik yang berasal dari Kampung Lukut, Kota Tinggi disahkan meninggal dunia di lokasi akibat selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Difahamkan, pemandu kereta terbabit cuba melarikan diri namun berjaya ditahan orang awam kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada polis.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Niat bantu mangsa kemalangan tapi maut dirempuh pemandu mabuk