WASHINGTON – Pentadbiran Presiden Amerika Syaikat Donald Trump telah mengecualikan telefon pintar, komputer dan beberapa peranti elektronik lain daripada tarif “timbal balik”, termasuk 125% levi yang dikenakan ke atas import China.

Kastam dan Peronda Sempadan Amerika Syarikat (AS) dalam notisnya berkata, barangan itu akan dikecualikan daripada tarif global 10% ke atas kebanyakan negara dan cukai import China yang jauh lebih besar.

Langkah ini menandakan penangguhan pertama dalam apa-apa jenis tarif Trump ke atas China, dengan seorang penganalisis perdagangan menyifatkan ia sebagai “senario pengubah permainan”.

Lewat pada hari Sabtu, semasa dalam perjalanan ke Miami, Trump berkata, beliau akan memberikan butiran lanjut tentang pengecualian pada awal minggu depan.

“Kami akan sangat spesifik. Tetapi kami menerima banyak wang. Sebagai sebuah negara, kami menerima banyak wang,” katanya kepada pemberita dalam Air Force One.

Langkah itu dibuat selepas kebimbangan syarikat teknologi AS bahawa harga alat tersebut boleh melambung tinggi kerana kebanyakannya dibuat di China.

Pengecualian membelakankan tarikh pada 5 April juga termasuk peranti dan komponen elektronik lain, termasuk semikonduktor, sel solar dan kad memori.

White House berkata, pengecualian dibuat untuk memastikan syarikat mempunyai lebih banyak masa untuk memindahkan pengeluaran ke AS.

“Presiden Trump telah menjelaskan bahawa Amerika tidak boleh bergantung kepada China untuk mengeluarkan teknologi kritikal seperti semikonduktor, cip, telefon pintar dan komputer riba.

“Atas arahan presiden, syarikat-syarikat ini bergegas untuk melancarkan pengeluaran mereka di Amerika Syarikat secepat mungkin,” kata Setiausaha Akhbar White House Karoline Leavitt dalam satu kenyataan.

Trump, yang menghabiskan hujung minggu di rumahnya di Florida, memberitahu pemberita pada hari Jumaat bahawa beliau selesa dengan tarif tinggi ke atas China.

“Dan saya fikir sesuatu yang positif akan terhasil daripada itu,” katanya sambil menggembar-gemburkan hubungannya dengan Presiden China Xi Jinping.

Barangan elektronik ini masih tertakluk kepada tarif 20% ke atas China berkaitan fentanyl, kata Timbalan Ketua Staf White House mengenai Polisi Stephen Miller yang disiarkan di X.

Ada yang mencadangkan harga iPhone di AS boleh meningkat tiga kali ganda jika kos diserahkan kepada pengguna.

AS adalah pasaran utama untuk iPhone, manakala Apple menyumbang lebih separuh daripada jualan telefon pintarnya tahun lepas, menurut Counterpoint Research.

Sebanyak 80% daripada iPhone Apple yang dijual di AS dibuat di China, dengan baki 20% dibuat di India.

Seperti rakan gergasi telefon pintar Samsung, Apple telah cuba mempelbagaikan rantaian bekalannya untuk mengelakkan terlalu bergantung kepada China dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

India dan Vietnam muncul sebagai pendahulu untuk hab pembuatan tambahan.

Memandangkan tarif berkuat kuasa, Apple mempercepat dan meningkatkan pengeluaran peranti keluaran India dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Trump telah merancang untuk pelbagai tarif yang tinggi ke atas negara-negara di seluruh dunia berkuat kuasa minggu ini.

Tetapi pada hari Rabu lalu, beliau mengumumkan akan melaksanakan penangguhan 90 hari untuk negara yang dikenakan tarif lebih tinggi – kecuali China, yang tarifnya dinaikkan kepada 145%.

Trump berkata, kenaikan tarif untuk China adalah kerana kesediaan negara itu untuk bertindak balas dengan levi sendiri 84% ke atas barangan AS.

Dalam perubahan dasar yang dramatik, Trump berkata, semua negara yang tidak bertindak balas terhadap tarif AS akan menerima penangguhan – dan hanya menghadapi tarif menyeluruh sebanyak 10% – sehingga Julai. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here