KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad terharu dan tidak menyangka berpeluang membuka semula Kapsul Masa Wawasan 2020 yang ditanam di Menara Kuala Lumpur di sini hampir tiga dekad lalu.
Bekas Perdana Menteri berkata, meskipun kapsul berkenaan lewat lima tahun dikeluarkan, beliau bersyukur kerana masih diberi peluang melihat kembali barang-barang nostalgia yang dimasukkannya pada 1 Oktober 1996.
Ujar beliau, antara barang-barang itu termasuk kad pengenalan, setem, duit kertas RM2, ucapan yang ditulisnya dan album mengandungi gambar-gambar.
Beliau sebenarnya tidak berharap untuk membuka kapsul itu ketika hayatnya masih ada kerana faktor umur yang telah lanjut.
“Saya fikir pada masa itu saya sudah tidak ada untuk melihat kembali kapsul itu. Tapi alhamdulillah saya berpeluang membukanya.
“Saya dapat membaca semula sajak yang ditulis sempena Ulang Tahun UMNO ke-50,” ujar beliau pada sidang media selepas majlis pembukaan Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur hari ini.

Upacara pembukaan itu diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bertemakan ‘Raikan Raya Bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad’ anjuran Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB).

Kapsul masa itu menyimpan mesej dan dokumen penting ketika beliau memimpin negara.
Menurutnya, beliau tiada hak untuk membuka kapsul berkenaan apatah lagi untuk diberi peluang membaca hasil tulisannya sendiri.
“Kapsul itu ditanam hampir 30 tahun dulu ketika saya berumur 70 tahun. Saya berasa sebak dan bersyukur masih diberi peluang begini,” ujar Dr. Mahathir
Beliau bersyukur Menara Kuala Lumpur ditadbir dengan baik sejak pembinaannya dan diharap terus menjadi simbol kepada tahap kemajuan negara.
“Ketika mercu tanda kebanggaan negara itu dibangunkan, tiada bangunan pencakar langit lain didirikan. Kini seperti New York kerana penuh dengan bangunan tinggi.
“Saya seperti Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump,” selorohnya ketika merujuk tindakannya mempamerkan isi kandungan kapsul berkenaan kepada umum. – MalaysiaGazette