UTeM telah menjalin kerjasama strategik bersama Guangxi Minzu University (GXMZU) menerusi pemeteraian Surat Minat, baru-baru ini.

MELAKA –
Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melakar langkah strategik dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila berjaya menjalin kerjasama bersama Guangxi Minzu University (GXMZU), China.

Inisiatif ini menyaksikan satu lagi usaha konkrit UTeM dalam memperluas jaringan kolaborasi global secara bersepadu, sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkasakan pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara.

Majlis pemeteraian penuh bermakna ini telah dimeterai oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin dan Presiden GXMZU, Profesor Dr Wei Sheizen, serta disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Lan Tianli, Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang.

Kolaborasi yang dimeterai ini membuka lembaran baharu kepada kedua-dua institusi dalam pelbagai skop kerjasama akademik dan penyelidikan, termasuk perkongsian kepakaran, pembangunan modal insan melalui latihan dan penyelidikan, serta pemanfaatan sumber teknikal dan fasiliti secara bersama.

Antara fokus utama yang menjadi mercu tanda pemeteraian ini ialah inisiatif penubuhan Makmal Antarabangsa Penyelidikan dan Aplikasi Kecerdasan Buatan (AI) secara bersama antara UTeM dan GXMZU.

Inisiatif berprestij ini bukan sahaja bakal menjadi titik tumpu utama kerjasama antara kedua-dua institusi, malah berpotensi melonjakkan kedudukan UTeM dalam landskap penyelidikan AI di peringkat global.

Makmal ini dijangka memainkan peranan sebagai hab kepada pembangunan penyelesaian pintar yang berteraskan teknologi AI, selari dengan arus Revolusi Industri 4.0 dan keperluan dunia semasa terhadap teknologi canggih dan lestari.

Menurut Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin, jalinan kerjasama ini adalah refleksi komitmen tinggi UTeM dalam mendepani cabaran global dan mendokong misi
memperkasa inovasi serta penyelidikan rentas sempadan.

“UTeM amat optimis bahawa kerjasama strategik ini akan memperkasa ekosistem akademik dan penyelidikan kedua-dua institusi, khususnya dalam menjana impak kepada
masyarakat melalui aplikasi teknologi masa hadapan yang bersifat manusiawi, bijaksana dan mampan,” ujar beliau penuh yakin.

Majlis ini turut memperkukuh hubungan diplomatik antara negeri Melaka dan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, memperlihatkan sinergi antara kerajaan negeri dan institusi pengajian tinggi dalam meneroka peluang jaringan antarabangsa yang lebih luas, inklusif dan bermanfaat untuk jangka masa panjang.

Dengan termeterainya surat minat ini, UTeM terus komited untuk memimpin perubahan melalui ilmu dan teknologi, memperteguh kedudukan sebagai universiti teknikal unggul bertaraf global, dan menjadikan kerjasama strategik seperti ini sebagai pemacu kecemerlangan masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here