Gambar Hiasan

KUANTAN – Seorang warga emas berusia 72 tahun di Temerloh dekat sini rugi RM2.6 juta setelah terjerat dengan skim pelaburan emas tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa terpedaya dengan pelaburan emas yang diperkenalkan oleh suspek melalui laman aplikasi Facebook sejak 20 Februari tahun lalu.

”Kemudian mangsa telah diberikan satu pautan untuk dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp yang dikenali sebagai Kelas Pertengahan Elit Malaysia 3.

”Dalam kumpulan tersebut mangsa telah diberikan latihan untuk mengendalikan pelaburan emas. Mangsa mula membuat pelaburan dengan tiga aplikasi yang diberikan oleh suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Yahaya berkata dalam tempoh 18 April hingga 9 Disember 2024, mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM2,612.203.30 dengan 60 kali transaksi ke dua akaun bank yang diberikan oleh suspek.

Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas semua aplikasi pelaburan gagal diakses dan wang keuntungan yang dijanjikan tidak diterima.

Sumber kewangan mangsa dari wang simpanan, wang mendiang suami, hasil jualan rumah dan pinjaman daripada anak mangsa yang menetap di luar negara.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan atas talian yang menjanjikan keuntungan tinggi.

Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here