Tinjauan CAP mendapati Sungai Juru tercemar berpunca daripada aliran rumpai hanyut dan sisa plastik.

JURU – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk segera menjalankan siasatan berhubung pencemaran Sungai Juru yang dilihat semakin membimbangkan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, tinjauan pihaknya mendapati pencemaran itu berpunca daripada aliran rumpai hanyut dan sisa plastik dari Sungai Rambai yang dibawa ke Sungai Juru dan seterusnya ke laut berhampiran.

Keadaan tersebut telah menjejaskan aktiviti harian para nelayan serta penternak kerang di Kampung Kuala Juru yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut untuk menyara kehidupan.

“Jika tiada tindakan segera diambil, keadaan akan menjadi lebih buruk dan menjejaskan sumber pendapatan komuniti nelayan serta penternak di kawasan itu.

Keadaan di Sungai Juru yang dipenuh sampah sarap.

“Justeru kita mendesak semua agensi terlibat supaya turun padang meninjau sendiri keadaan sebenar di lokasi dan bertindak terhadap pihak yang dikenal pasti menjadi punca pencemaran tersebut.

“Tindakan undang-undang perlu diambil dengan tegas dan pemantauan berterusan harus dilakukan oleh JAS serta MBSP bagi memastikan isu sama tidak berulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen turut memohon kerajaan mempertimbangkan bantuan atau pampasan kepada golongan yang terkesan akibat kemerosotan hasil pendapatan disebabkan pencemaran berkenaan.

Sementara itu, Ketua Unit Nelayan Kampung Kuala Juru, Wahid Othman berkata, masalah yang sudah berlarutan sejak lima tahun lalu masih belum diberi penyelesaian walaupun telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan.

Wahid.

“Selain pukat nelayan rosak dirempuh rumpai hanyut dan sampah sarap, pembesaran kerang yang diternak juga terbantut dan menjejaskan sumber pendapatan penternak yang terbabit,” katanya.

Manakala penternak kerang, Helmi Ibrahim, 45, berkata, jika pencemaran rumpai hanyut dan sampah sarap masih berlaku dan tidak ditangani segera kemungkinan lebih besar kerugian akan dialami.

Helmi.

“Kami bimbang kerang yang diternak boleh mati jika rumpai dan sisa plastik mendap di kawasan ternakan kerang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here