Datuk Mazlan Ahmad.

KUALA LUMPUR – Dunia sukan tanah air kehilangan seorang tokoh penting apabila bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

Allahyarham, 75, sebelum ini dilaporkan tidak sedarkan diri akibat pendarahan dalam kepala serta jangkitan paru-paru.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mewakili seluruh warga kementerian dan institusi sukan negara turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian insan yang banyak berjasa itu.

Allahyarham memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah MSN dari tahun 1993 hingga 2005 dan menjadi tulang belakang kepada kejayaan sukan negara sepanjang tempoh tersebut.

Antara pencapaian terbesar beliau ketika menjadi Ketua Kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2001 yang menyaksikan Malaysia muncul juara keseluruhan dengan kutipan 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa.

Beliau turut memainkan peranan utama sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998 yang menyaksikan kontinjen negara meraih tempat keempat keseluruhan dengan 10 emas, 14 perak dan 12 gangsa.

Biarpun sudah bersara, legasi beliau diteruskan melalui kejayaan Malaysia pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi dan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, hasil daripada pelan pembangunan Jaya ’98 yang dirancang dan dilaksanakannya dengan penuh dedikasi.

Sumbangan beliau diiktiraf antara yang paling signifikan dalam sejarah sukan Malaysia dan pemergian Allahyarham pastinya satu kehilangan besar buat dunia sukan tanah air. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here