KUALA LUMPUR – Satu keajaiban terjadi dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya apabila bilik solat di dalam salah sebuah rumah mangsa masih berada dalam keadaan baik.
Padahal ruang tamu yang mengalami kerosakan teruk selain penuh debu dan kesan hitam.
Namun berbeza pula dengan bilik solat itu di mana sejadah yang dibentang di dalamnya masih elok dan kelihatan tidak terusik.
Keadaan itu menjadi kerana kebakaran pada 1 April lalu menyaksikan suhu panas mencecah 1,000 darjah Celcius hingga merosakkan banyak rumah dan harta-benda, malah segelintir penduduk mengalami lecur yang teruk.
Video suasana bilik solat itu dikongsikan oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi ketika melakukan tinjauan ke rumah-rumah mangsa yang terjejas akibat insiden tersebut.
“Salah satu rumah yang terjejas teruk tapi bilik solat masih dalam keadaan baik. Di sebalik musibah, ada tanda kekuasaanNya,” katanya menerusi akaun TikTok miliknya semalam.
Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik turut mendoakan agar semua penduduk yang terjejas akibat tragedi itu diberi kekuatan dan ketabahan.
“Semoga mangsa diberi ketabahan dan dipermudahkan segala urusan pemulihan. InsyaAllah, kami akan bantu sebaik mungkin,” katanya lagi. – MalaysiaGazette