Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (tengah) tiba dan beramah mesra bersama-sama warga Lembaga Petubuhan Peladang ketika hadir pada Sambutan Hari Raya Peringkat Lembaga Pertuduhan Peladang 2025 Menara LPP, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 14 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyelaras harga kawalan maksimum bagi benih padi sah (BPS) di bawah Insentif Benih Padi Sah berkuatkuasa esok

Ia melibatkan peringkat borong daripada RM54 kepada RM52 per kampit 20 kilogram (kg) manakala peringkat runcit daripada RM58 kepada RM56 di Semenanjung Malaysia.

Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyelarasan harga kawalan maksimum bagi BPS peringkat borong dan runcit dilaksanakan melalui sesi libat urus yang diadakan oleh KPKM bersama pesawah dan pengeluar.

Menurut beliau, ia setelah mengambilkira pelbagai faktor antaranya kos pengeluaran BPS dan penyelarasan harga lantai belian padi.

“Keputusan ini adalah sebahagian daripada usaha KPKM untuk menjaga kebajikan pesawah agar mereka mendapat benih padi yang berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan serta memastikan ketersediaan bekalan BPS yang berterusan di pasaran untuk keseimbangan ekosistem industri padi dan beras negara.

“Semua pemborong dan peruncit BPS adalah diarah untuk menyelaras harga BPS di peringkat jualan masing-masing.

“Mana-mana pihak yang didapati memanipulasi bekalan dan harga BPS seperti enggan menjual, menyorok bekalan dan mengenakan syarat pembelian atau menjual melebihi harga kawalan maksimum yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] dan perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Mohamad ketika hadir Sambutan Hari Raya Peringkat Lembaga Pertuduhan Peladang 2025 Menara LPP di sini berkata, pihaknya dalam proses menentukan harga benih padi.

Semalam media melaporkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) memohon KPKM mengeluarkan segera arahan penurunan harga benih padi bagi musim 1/2025 untuk meringankan beban golongan itu.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, ia berikutan harga kawalan benih padi di pintu kilang pada ketika ini masih RM58 satu beg (20 kilogram) seperti ditetapkan pada Mac 2024, iaitu ketika harga padi semasa yang ditawarkan kilang mencapai hingga RM1,800 satu tan.

“Penurunan harga belian padi pada tuaian yang lepas iaitu sekitar RM1,500 menjadikan harga benih semasa pada masa ini tidak lagi munasabah. Tindakan perlu disegerakan kerana musim tanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) fasa pertama (pelepasan air) akan bermula pada 16 April ini.

“Sekarang pesawah terpaksa beli benih padi sah dengan harga RM58 satu beg (20 kilogram) dan kami cadangkan harga sesuai diturunkan kepada RM35 satu beg di pintu kilang,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Alor Belat di Pendang, Kedah.

Abdul Rashid berkata kenaikan kos sara hidup dan kadar sewa jentera untuk tanaman padi pada masa ini juga menyebabkan pesawah mengalami kesukaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here