Lee Chean Chung.

KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung akan membuat rayuan berhubung keputusan pemilihan parti cabang Petaling Jaya.

Beliau yang tewas kepada penyandang kerusi, Hee Loy Sian berkata, telah menerima banyak panggilan dan mesej yang mempersoalkan ketelusan keputusan serta proses pemilihan tersebut.

“Selepas berbincang bersama pasukan, saya telah membuat keputusan untuk mengemukakan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

“Kami yakin bahawa KEADILAN sebagai sebuah parti reformasi mempunyai sistem yang adil, dan melalui proses ini, kami berharap segala keraguan dapat diperjelaskan demi memastikan hak semua ahli parti dijaga dengan adil dan saksama.

“Bagi saya, demokrasi bukan hanya soal keputusan, tetapi soal proses yang telus dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan.

Percubaan Pengarah Komunikasi PKR itu untuk memimpin cabang Petaling Jaya gagal apabila tewas kepada penyandangnya, Hee Loy Sian.

Chean Chung yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya, memperoleh 2,684 undi, di belakang Loy Sian yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang yang berjaya meraih 2,900 undi.

Di Cabang Petaling Jaya, jumlah yang layak mengundi ialah 7,335 manakala kertas undi dikeluarkan sebanyak 5,605.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here