Kredit FB Penang FC

GEORGE TOWN – Ketua Jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail bangga dengan kejayaan anak buahnya menewaskan KL City FC (KL City) 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Bandaraya di sini malam tadi.

Wan Rohaimi berkata kejayaan mengutip tiga mata itu membuktikan kesungguhan dan komitmen tinggi setiap pemain untuk memberikan aksi terbaik, sekali gus menjadi penawar luka buat para penyokong yang tetap setia bersama skuad Harimau Kumbang sepanjang musim ini.

“Ini adalah satu perjuangan jujur daripada pemain-pemain kami kerana bukan mudah untuk menewaskan KL City, yang dikenali sebagai pasukan berpengalaman.

“Saya harap tiga mata ini sedikit sebanyak dapat mengubati luka para penyokong Penang FC. Walaupun kami masih berada di kelompok bawah carta liga, dua kemenangan berturut-turut (sebelum ini menewaskan Negeri Sembilan FC) memberikan semangat baharu dan membuktikan peningkatan yang membanggakan dalam prestasi pasukan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan malam tadi.

Wan Rohaimi turut berharap momentum positif yang dibina itu mampu diteruskan menjelang perlawanan terakhir menentang Sri Pahang FC di Stadium Temerloh pada 19 April ini.

Ketika ditanya mengenai perjalanan pasukan berkenaan sepanjang musim ini, pengendali berusia 49 tahun itu berkata prestasi dan hala tuju pasukan menunjukkan perkembangan positif dan semakin jelas.

“Sejak hari pertama saya bersama pasukan sehingga hari ini, saya dapat lihat perubahan yang ketara. Penang FC kini mula menunjukkan corak permainan yang jelas dan arah tuju dalam permainan kami, disertai dengan keputusan yang lebih memihak kepada pasukan,” katanya.

Sementara itu, pengendali KL City Miroslav Kuljanac nyata kurang berpuas hati dengan rentak permainan yang sering terganggu terutama insiden ketika permainan berbaki 20 minit, yang menjejaskan tumpuan pemainnya.

“Dalam 20 minit terakhir perlawanan hari ini, kami tidak mempamerkan aksi bola sepak yang sebenar. Terlalu banyak gangguan dan permainan banyak terhenti. Mungkin corak permainan sedikit berbeza.

“Saya datang dari tempat di mana anda berbaring selama lima minit dan tiba-tiba bangun seperti tiada apa yang berlaku. Namun, di sini nampaknya ia kerap berlaku dan saya harap perkara ini akan berubah pada masa hadapan,” katanya.

Beliau juga enggan memberikan penilaian terhadap prestasi keseluruhan KL City, sebaliknya memberitahu supaya menunggu sehingga saingan musim ini tamat kerana masih ada baki satu lagi perlawanan penting.

KL City dijadualkan menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada aksi terakhir liga di halaman sendiri pada 20 April ini.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here