KEPALA BATAS – Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes buli membabitkan tujuh pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Nibong Tebal dekat sini kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, siasatan kes itu telah dilengkapkan sepenuhnya termasuk merakam keterangan kakitangan sekolah, pelajar serta mangsa terbabit.
“Saya tak boleh nak dedahkan dengan lebih terperinci (siasatan kes) tetapi siasatan kita sudah lengkapkan.

“Kita sudah majukan kertas siasatan termasuk laporan perubatan (mangsa) kepada DPP untuk arahan lanjut pada Khamis lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM Kontinjen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) malam tadi.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar pertengahan tahun lalu itu berlaku sekali sahaja dan kesemua pelajar berkenaan dikatakan sedang bergurau sesama mereka.
“Berdasarkan siasatan, sekali sahaja kejadian itu berlaku dan kumpulan itu bergurau dalam kalangan mereka,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis telah merekodkan keterangan tujuh pelajar termasuk mangsa bagi membantu siasatan kes buli selepas video berkaitan kejadian itu tular di media sosial Isnin lalu.
Video berdurasi satu minit 31 saat itu memaparkan seorang pelajar dihempap dalam keadaan tertiarap di atas katil, selain turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada bahagian punggung. – MalaysiaGazette