SEREMBAN – Tiga lelaki dan tiga wanita tempatan direman 14 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes culik membabitkan seorang remaja perempuan, di sini, 10 April lepas.
Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohamad Hatta Che Din berkata, perintah reman terhadap kesemua individu berusia dalam lingkungan 20 hingga 31 tahun itu dikeluarkan Majistret Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret di sini petang tadi.
“Kesemua individu berkenaan direman hingga 27 April ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes culik membabitkan remaja berusia 16 tahun maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Bandar Bukit Tinggi, Klang awal pagi tadi.
Beliau berkata, pihaknya telah mengesan suspek warga tempatan berusia 21 tahun itu di Jalan Bayu Tinggi, Klang sebelum dia cuba melarikan diri daripada polis.
Fadil berkata, suspek disyaki sebagai antara individu terbabit dalam kes penculikan remaja perempuan warga tempatan di sini dan meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta daripada keluarga mangsa pada 10 April lepas.