KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lawatan negara Presiden China, Xi Jinping telah dirancang lebih awal sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh hubungan dua hala, meskipun berlangsung dalam suasana geopolitik dan geoekonomi serantau yang mencabar.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia adalah sebuah negara perdagangan yang mengamalkan keterbukaan dan hubungan seimbang dengan semua rakan antarabangsa.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga memikul tanggungjawab penting untuk terus mendukung keterangkuman dan keamanan serantau,” katanya menerusi taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah hari ini.

Malaysia akan menerima lawatan rasmi Jinping bermula esok hingga Khamis ini, atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Ia merupakan lawatan negara kedua Jiinping ke Malaysia selepas lawatan pertama beliau pada 2013 serta merupakan kesinambungan hubungan diplomatik Malaysia-China yang telah terjalin sejak lebih 50 tahun lalu.
Jinping dijadualkan menerima istiadat Sambutan Negara di Istana Negara dan menghadiri majlis santapan negara Sultan Ibrahim pagi Rabu, sebelum mengadakan pertemuan dengan Anwar di Kompleks Seri Perdana pada sebelah petang.
Pertemuan itu bagi membincangkan kerjasama dua hala dan isu serantau, serta menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman, perjanjian dan nota diplomatik.
Sementara itu, menurut Tunku Nashrul, Perdana Menteri mengambil maklum berhubung kesulitan yang timbul susulan penutupan beberapa laluan utama Sabtu lalu bagi memberi laluan kepada sesi raptai sempena lawatan negara Jinping.
Menurutnya, seperti mana yang dimaklumkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, 17 laluan sekitar Lembah Klang dan Putrajaya akan turut ditutup atau dilencongkan secara berperingkat sepanjang lawatan negara ini berlangsung, atas faktor keselamatan dan kelancaran istiadat rasmi negara.
“Justeru, Perdana Menteri menyarankan orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesulitan dan memastikan urusan berjalan lancar.
“Perdana Menteri juga meminta pengendali perkhidmatan pengangkutan awam untuk memastikan ketersediaan aset-aset bagi memastikan keselesaan pengguna sepanjang lawatan negara ini,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, sebaik sahaja selesai lawatan negara oleh Jinping, Perdana Menteri akan bergerak ke Thailand pada Khamis ini untuk mengadakan lawatan kerja dan bertemu Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
Menurutnya, fokus pertemuan itu adalah perbincangan terkait memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama rentas sempadan, termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir Sungai Golok-Rantau Panjang, selain membincangkan isu semasa dan isu serantau yang membabitkan kepentingan Malaysia, Thailand dan ASEAN.
“Perdana Menteri juga dijadualkan bertemu Pengerusi State Administrative Council (SAC) yang juga Perdana Menteri Myanmar, Jeneral Kanan Min Aung Hlaing di Bangkok, di mana ini adalah pertemuan julung kali antara ketua negara ASEAN dengan Jeneral Aung Hlaing.
“Pertemuan ini adalah bagi membincangkan bantuan kemanusiaan akibat gempa bumi di Myanmar,” katanya.
Tambah beliau, seperti kebiasaan pada lawatan ke luar negara, Perdana Menteri akan menggunakan kesempatan itu untuk bertemu ketua-ketua industri Thailand, selain mengadakan pertemuan kumpulan penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra. – MalaysiaGazette