NOTIS penutupan KLIA 2 Terminal susulan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping. - Foto: FB Malaysia Airports

KUALA LUMPUR – Tiada akses ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 meliputi kawasan balai berlepas, ketibaan dan kawasan letak kereta susulan penutupan jalan sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping.

Malaysia Airports Holding Berhad dalam kenyataan menerusi laman sosial Facebook berkata, Terminal 2 hanya boleh diakses melalui KLIA Transit dari Terminal 1.

“Penumpang yang tiba di Terminal 2 perlu menaiki KLIA Transit ke Terminal 1 untuk perjalanan seterusnya,” katanya.

Terdahulu, menurut kenyataan itu, penutupan jalan sepenuhnya akan dilaksanakan semasa lawatan rasmi Jinping esok (15 April) pukul 6 petang hingga 7 petang dan Khamis ini (17 April) pukul 8:50 pagi hingga 9:50 pagi.

Jelasnya, laluan yang terlibat adalah Lebuh KLIA; Lebuhraya ELITE; Lingkaran Putrajaya; Lebuh Putrajaya-Dengkil; Persiaran Selatan; Lebuh Gemilang dan Jalan P5.

Sehubungan itu, ujarnya, jika pemanduan tidak dapat dielakkan, para penumpang dinasihatkan menggunakan laluan alternatif, dari Lebuhraya ELITE (E6) – keluar di Tol Serenia – Kota Warisan – Bulatan Masjid – Jalan KLIA 1 – Bulatan Charterfield – Terminal 1 KLIA (Balai Berlepas / Ketibaan / Tempat Letak Kereta).

Tambahnya, para penumpang turut dinasihatkan supaya menggunakan KLIA Ekspres dari KL Sentral ke/dari KLIA Terminal 1 & 2.

Selain itu, ujarnya, penumpang juga disarankan menggunakan KLIA Transit dari KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Putrajaya & Cyberjaya, atau Salak Tinggi ke/dari KLIA Terminal 1 & 2.

“Para penumpang digalakkan merancang perjalanan mereka ke/dari lapangan terbang di luar waktu penutupan jalan bagi mengelakkan kelewatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here