KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki yang membawa tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh berjaya dipatahkan oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan dalam satu operasi di Kampung Kubang Kuau dekat sini semalam.
Kenderaan yang dinaiki mereka ditahan kira-kira jam 10.30 malam ketika rondaan rutin dilakukan menerusi Op Taring Wawasan.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, anggota PGA mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan menemui tiga lelaki warga Bangladesh di dalam kenderaan tersebut. Dua daripadanya menunjukkan pasport yang meragukan manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Nik Ros Azhan, pemandu kenderaan berusia 29 tahun itu dipercayai menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada PATI dan telah ditahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, ketiga-tiga warga asing tersebut ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
Kesemua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Nik Ros Azhan turut menegaskan PGA akan terus mempertingkatkan rondaan dan kawalan keselamatan di kawasan sempadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta kemasukan PATI secara haram ke negara ini. – MalaysiaGazette