Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Forum Hutan, Pertanian dan Perdagangan Komoditi (FACT) 2025 di Marina Putrajaya, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Malaysia tidak terkecuali daripada menerima kesan akibat tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif timbal sebanyak 24 peratus terhadap barang import dari negara ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kadar baharu duti itu bukan satu pilihan, bahkan ia adalah hak AS untuk melaksanakan kepada mana-mana negara di dunia.

“Tarif ini semua negara dalam dunia yang kena terdedah dengan tarif mendadak ini, semuanya terkesan dan Malaysia juga tidak menafikan kita juga terkesan.

“Bila terkena (tarif) 24 peratus, saya tidak fikir Malaysia tak boleh mengelaknya semua orang kena kesannya dan kita kena runding balik.

“Ini pun kita melihat bahawa duti yang kena ini bukan pilihan kita, bila AS buat macam itu, itu hak mereka nak buat, jadi kita kena menyesuaikan diri,” katanya kepada pemberita di Marina Putrajaya, di sini, hari ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Forum Hutan, Pertanian dan Perdagangan Komoditi (FACT) 2025 di Marina Putrajaya, Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Hutan, Pertanian dan Perdagangan Komoditi (FACT) 2025.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden AS, Donald Trump mengumumkan gelombang tarif baharu sebagai sebahagian daripada langkah perdagangan global.

Menurutnya, kadar tarif tinggi turut dikenakan terhadap beberapa negara lain yang berdagang dengan AS.

Johari berkata, Malaysia bernasib baik kerana tarif yang dikenakan hanya 24 peratus berbanding negara lain yang lebih tinggi khususnya Indonesia dan China.

“Kalau kita bandingkan dengan Indonesia, mereka kena 32 peratus, kita kena 24 peratus.

“Dalam skor ini, kita ada kelebihan, tetapi kita kena juga fikirkan walaupun China tinggi, jadi produk getah kita akan lebih kompetetif berbanding China.

“Tapi China ada kapasiti yang besar, kemudian dia akan menembusi negara-negara yang bukan AS

“Mungkin China akan bagi harga kompetitif yang juga boleh beri kesan kepada pasaran kita,” katanya.

Selain itu, Johari berkata, memandangkan pelaksanaan tarif baharu ke atas Malaysia akan berkuatkuasa dalam 90 hari, empat komoditi utama tempatan yang dieksport ke AS masih pada tarif lama.

“Buat masa ini, apa sahaja kita eksport, kita kena patuh dari sekarang, oleh kerana ada tempoh 90 hari, kita masih boleh jalan macam biasa, tarif asas masih 10 peratus,” katanya.

Johari tidak menolak kemungkinan, tarif baharu AS itu akan memberi kesan kepada eksport Malaysia ke AS berjumlah RM186 bilion ketika ini.

“Kita eksport ke AS lebih kurang RM21 bilion, kita eksport produk minyak sawit, getah, perabot dan koko serta mentega koko. Jadi empat komoditi ini berjumlah RM21 bilion kita eksport ke AS.

“Ia masih sedikit ketidaktentuan, sebagai kementerian yang eksport barang ini, kita punya eksport setahun jumlah kepada seluruh negara RM186 bilion di mana RM120 bilion sahaja minyak sawit dan bakinya komoditi lain.

“China, India dan Eropah, memang tiga negara terbesar eksport kita, macam di AS, kita eksport produk minyak sawit kita kira-kira 600,000 metrik tan, Indonesia eksport lebih, produk lain seperti sarung getah kita antara negara pelopor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here