KEPALA BATAS – Masalah peribadi termasuk isu kewangan dikenal pasti punca seorang anggota polis maut selepas tertembak diri sendiri dalam kejadian di pos pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, punca tersebut dikenal pasti susulan hasil siasatan yang dijalankan pihaknya sejurus insiden berkenaan.
Jelas beliau, pihaknya juga telah merakamkan keterangan sembilan orang saksi yang terdiri daripada bekas isteri anggota yang bertugas di cawangan Kem Komandar itu.
“Kita turut merakamkan keterangan rakan karibnya, anggota bertugas ketika kejadian, pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) serta pakar perubatan forensik yang menjalankan proses bedah siasat terhadap mangsa.
“Siasatan berhubung insiden berkenaan telah pun diselesaikan dan kita kini sedang melengkapkan dokumentasi akhir untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
“Mendiang telah selamat dikebumikan dan punca kejadian dipercayai disebabkan masalah peribadi serta mungkin ada kaitan dengan isu kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM Kontinjen Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) malam tadi.
Hadir sama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri serta Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Media pada Khamis lalu melaporkan, koperal yang parah akibat tertembak kepalanya sendiri di pos pengawal IPK Pulau Pinang di sini meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di HPP.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.12 petang, koperal lelaki berusia 58 tahun itu dilaporkan tertembak bahagian kepalanya menggunakan pistol jenis P99.
Mangsa yang berstatus duda itu dikatakan kemurungan sebelum kejadian selain didakwa mempunyai masalah hutang. – MalaysiaGazette