KUALA LUMPUR – Mesyuarat pertama Pasukan Petugas National Geoeconomic Command Centre (NGCC) akan diadakan secepat mungkin, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, mandat utama pasukan petugas itu adalah untuk mempercepatkan pelaksanaan cadangan-cadangan NGCC.
Menurutnya, ia akan dianggotai oleh wakil-wakil awam dan swasta termasuk agensi kementerian seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), pemimpin industri, ahli ekonomi, penganalisis dasar dan pakar-pakar yang relevan.
“Ia bagi melindungi kepentingan ekonomi dan pekerjaan rakyat Malaysia.
“Apa-apa perkembangan lanjut mengenai hasil Mesyuarat Pasukan Petugas ini akan dimaklumkan kepada media dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media NGCC, di sini, hari ini.
Ia susulan mesyurat NGCC yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memberi taklimat perkembangan terkini tentang pelaksanaan tarif timbal balik oleh Kerajaan Amerika Syarikat (AS) terutamanya setelah penangguhan 90 hari yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump pada 9 April lalu.
Tengku Zafril menambah, semua usaha yang dilakukan kerajaan akan mengurangkan impak tarif AS dengan membantu perusahaan kecil sederhana di Malaysia mempelbagaikan pasaran mereka.
“MITI akan terus memantau situasi ekonomi global dan bekerjasama dengan Kementerian yang berkenaan terutamanya Kementerian Luar Negeri, Kewangan, Ekonomi, Komoditi dan Sumber Manusia, katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul memberitahu, Malaysia adalah antara lebih 75 buah negara yang termasuk dalam senarai negara yang diberi penangguhan selama 90 hari.
Jelasnya, kerajaan menyambut baik penangguhan itu dan tempoh penangguhan akan digunakan sebaik mungkin untuk memastikan proses rundingan dapat dijalankan dengan Kerajaan AS dalam tempoh terdekat.
“Kerajaan ingin menegaskan bahawa pendirian Malaysia kekal bahawa kita tidak akan mengenakan tarif timbal balas terhadap import dari AS.
“Objektif kita adalah untuk menurunkan kadar tarif dan memperluaskan senarai pengecualian untuk eksport Malaysia supaya impak negatif terhadap ekonomi kita dapat dimitigasi.
“Seperti mana yang kita sedia maklum, situasi terkini masih agak “fluid” dan tidak menentu.
“Pendirian Kerajaan AS nampaknya berubah-ubah setiap hari. MITI dan agensi-agensinya sedang memantau keadaan ini dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan kedudukan strategik Malaysia terlindung,” katanya. – MalaysiaGazette