Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bercakap ketika sidang media berkenaan Kadar Tarif yang dikenakan Amerika Syarikat di Menara MITI, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 14 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan strategi menerusi pendekatan bilateral dan multilateral dipacu oleh tiga keutamaan bagi mencari solusi terbaik untuk hubungan ekonomi Malaysia – Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, yang pertama dengan terus melaksanakan sesi libat urus dengan Kerajaan AS di setiap peringkat dalam tempoh terdekat dan masih menunggu tarikh temujanji dari pihak Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR).

Menurut beliau, sesi libat urus juga akan diadakan dengan pihak industri dan kementerian agensi berkenaan.

“Kedua mempergiat perbincangan proaktif dengan blok-blok ekonomi, negara-negara dan pasaran-pasaran lain untuk memperluas pasaran.

“Ketiga mempercepatkan reformasi ekonomi bagi memperkukuh kapasiti rantaian bekalan domestik dan membantu meningkat kecekalan pengeksport,” katanya pada sidang media National Geoeconomic Command Centre (NGCC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sepanjang minggu lalu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Katanya yang utama, sektor industri terutamanya pengeksport, dan pemain pasaran modal untuk mendapatkan pandangan dan mendengar secara langsung impak tarif ini kepada pemain industri.

“Di dalam sesi-sesi perbincangan tertutup itu, ada beberapa perkara yang diusulkan kepada MITI dan kita sedang meneliti cadangan dan permintaan ini yang telah dipanjangkan kepada Kementerian Kewangan untuk diperhalusi.

“Saya ingin menegaskan, keadaan ekonomi masih terkawal. Asas ekonomi kita masih kukuh dan stabil.

“Seperti mana yang telah dijelaskan dalam tiga keutamaan kita, langkah-langkah dalam tiga keutamaan ini sedang dilaksanakan dan bergerak seiring secara bilateral dan juga multilateral.

“Kerajaan akur bahawa kita harus bertindak pantas, namun pada masa yang sama kita perlu juga anjal dan fleksibel dalam mengadaptasi perkembangan dan perubahan terkini terutamanya dalam memastikan impak jangka pendek terlindung, dan kekuatan ekonomi kita diperkukuh untuk jangka masa sederhana dan panjang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast