KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib berkongsi rasa sedih dengan pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebentar tadi.
Bekas Perdana Menteri keenam itu menyifatkan Abdullah yang mesra dengan panggilan ‘Pak Lah’ sebagai kawan, mentor dan pemimpin yang dihormati.
“Secara peribadinya, Pak Lah amat rapat dengan kami sekeluarga. Bagaikan abang dan teman rapat ketika susah dan senang. Sentiasa sudi membimbing, memberi nasihat dan tunjuk ajar, menunjukkan jalannya.
“Dalam politik dan pentadbiran, Pak Lah seorang yang berintegriti. Kepimpinannya bukan sahaja berteraskan akauntabiliti malah mengutamakan kecemerlangan.
“Bersandarkan kepada semangat dan prinsipnya juga yang menjadi antara beberapa faktor mendorong kepada terlahirnya prinsip pentadbiran 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” tulisnya di Facebook Najib Razak di sini hari ini.
Najib berkata, Pak Lah akan sentiasa dikenang dengan sumbangannya kepada agama, bangsa dan negara selain seorang insan yang mulia.
Artikel berkaitan:
Tun Abdullah Ahmad Badawi meninggal dunia di IJN
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Pak Lah dan rakan-rakan. Marilah kita sama-sama doakan. Semoga Allah ampunkan segala dosa arwah, menerima amalan beliau, mengangkat darjatnya di sisi Allah dan dikurniakan syurga.
“Malaysia kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa,” katanya.
Abdullah meninggal dunia pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.
Perkara itu disahkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin, dalam hantaran menerusi laman sosial yang memaklumkan bahawa Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam. – MalaysiaGazette