UCAPAN takziah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas pemergian bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi akan dikenang sebagai seorang negarawan berjiwa luhur, tenang dalam kepimpinan dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sumbangan serta jasa beliau dalam membentuk asas pentadbiran berteraskan integriti dan prinsip Islam Hadhari juga akan terus terpahat dalam lipatan sejarah negara.

Menyifatkan pemergian Tun Abdullah satu kehilangan besar buat negara, Ahmad Zahid berkata, beliau secara peribadi amat terkesan dengan pemergian Allahyarham yang mesra disapa sebagai Pak Lah.

Ujar beliau, Tun Abdullah bukan sekadar seorang tokoh negara, tetapi juga seorang mentor dan pemimpin yang amat dihormatinya.

“Dalam perjalanan awal karier saya, Tun (Abdullah) banyak membuka ruang, memberi peluang dan berkongsi nasihat yang tidak ternilai.

“Bimbingan dan kepercayaan yang beliau berikan menjadi antara asas penting yang membentuk diri dan arah langkah saya hingga ke hari ini,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, beliau sekeluarga merakamkan ucapan takziah yang setulusnya kepada Tun Jeanne Abdullah serta seluruh keluarga Allahyarham Tun Abdullah.

“Semoga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal bakti Allahyarham dan menempatkan beliau di dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta beroleh ganjaran syurga,” katanya.

Pak Lah yang juga bekas Perdana Menteri kelima meninggal dunia pada pukul 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN), di sini.

Perkara itu disahkan ahli politik dan bekas Menteri Kesihatan yang juga menantu arwah, Khairy Jamaluddin menerusi laman Instagramnya.

Allahyarham Abdullah yang merupakan Perdana Menteri kelima dilantik pada 31 Oktober 2003 selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here