Kredit FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak sekadar seorang pemimpin, malah merupakan seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baharu dalam politik kekuasaan di Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, dengan pendekatan Islam Hadhari, Tun Abdullah atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Lah menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai.

Di bawah kepemimpinannya, kata beliau, negara telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran dan pemerkasaan institusi.

“Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam.

“Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Tambah Anwar, lebih daripada pencapaian itu, Pak Lah turut mengajarkan mengajarkan kita erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.

Katanya, Pak Lah memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi.

Terdahulu, kata Anwar, beliau menerima berita pemergian Pak Lah yang menyentak jiwanya yang mana masih segar dalam ingatan tatkala kali terakhir menziarahi Pak Lah yang berada dalam keadaan yang sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba.

“Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam.

“Dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan.

“Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung,” katanya.

Ujar Anwar, beliau masih ingat sewaktu bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, Pak Lah tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista.

“Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas.

“Kepada keluarga Tun Jeanne, anakanda Khairy Jamaluddin dan keluarga besar beliau, saya ucapkan takziah setulusnya dari lubuk hati. Seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi.

“Selamat jalan, Pak Lah.

“Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. Semoga ruh allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau,” katanya.

Pak Lah yang juga bekas Perdana Menteri Kellima meninggal dunia pada pukul 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.

Perkara itu disahkan ahli politik dan bekas Menteri Kesihatan yang juga menantu arwah, Khairy Jamaluddin menerusi laman Instagramnya sebentar tadi.

Allahyarham Tun Abdullah merupakan Perdana Menteri Kelima apabila dilantik pada 31 Oktober 2003 selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here