Kesihatan Muhammad Adif semakin merosot dan kini dirawat di HSI, Johor Bahru.

KLUANG – Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Itu beban dan tanggungjawab dipukul Rafidah Ab Manaf, 45, yang tidak bekerja dan perlu menjaga anak remaja lelaki yang sedang menderita penyakit kanser sarcoma.

Beliau menjaga Muhammad Adif Fadrul Syahrul, 17, yang kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Rafidah yang tinggal di Taman Lambak di sini berkata, keadaan kesihatan anaknya itu semakin tidak menentu apabila sel kansernya sudah merebak pada bahagian muka, buah pinggang, paru-paru darah dan tulang.

“Keadaan wajahnya membengkak dan dia tidak boleh mengiring ke kiri atau kanan selain selalu bersujud untuk selesakan diri.

“Ulser penuh di dalam mulutnya dan buat masa ini dia menjalani rawatan radioterapi lima kali seminggu dan kimoterapi sudah dijalankan sekali pada minggu lalu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai makan berhenti kerja sejak dua bulan lalu sekali gus menyebabkannya hilang mata pencarian kerana perlu memberi tumpuan menjaga Muhammad Adif di HSI.

Ibu tunggal itu mendakwa sudah menjaga Muhammad Adif sejak 25 Februari lalu dan terpaksa meninggalkan anak bongsu perempuannya yang berusia enam tahun di bawah jagaan saudara di sini.

Dia yang sudah berpisah dengan suami sejak Ogos tahun lalu berkata, sebelum ini mempunyai pendapatan RM1,700 sebulan untuk menyara kedua-dua anaknya itu.

“Mujur ada saudara mara dan sahabat handai yang menghulurkan wang serba sedikit dan membayarkan sewa rumah sebanyak RM300 sebulan sejak saya tak bekerja.

“Namun saya buntu kerana permohonan untuk mendapatkan laporan perubatan dari Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini iaitu hospital pertama anak saya dirujuk masih tidak dapat dilakukan.

“Rekod ini penting untuk urusan pengeluaran Kumpulan Simpanan Wang Pekerja dan Baitulmal,” katanya.

Bagi sesiapa yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Rafidah Ab Manaf Maybank 151061518156.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here