PUTRAJAYA – Satu pengumuman rasmi mengenai kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan dibuat setelah kata sepakat dicapai dalam kalangan semua pemimpin parti politik.
Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pertemuan dengan kepimpinan PH Sabah juga telah dibuat bagi mendepani PRN kali ke-17 itu.
“Pertemuan juga telah diadakan dengan pelbagai gabungan parti-parti politik di Sabah.
“Sebaik-baiknya, semua pemimpin parti apabila dapat mencapai keserasian daripada mana juga parti gabungan, maka pengumuman akan dilakukan secara rasmi.
Tapi setakat ini, perbincangan tetap diteruskan dengan ramai pihak,” katanya kepada media ketika majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Lebaran Kasih anjuran beliau di Sri Satria, malam tadi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian mengulas pertanyaan media berhubung kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang berkata BN telah memutuskan kerjasama dengan PH Sabah bagi menghadapi PRN Sabah.
Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, perkara itu dimuktamadkan pada pemukiman UMNO Sabah akhir tahun lalu.
Katanya, perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin PH Sabah juga sudah beberapa kali diadakan dan ia akan disusuli perbincangan secara rasmi dalam masa terdekat berikutan jangkaan PRN17 yang sudah semakin dekat.
“Dalam sambutan Hari Raya ini pun banyak desas-desus yang kita dengar dan bertanya UMNO Sabah bergabung dengan siapa. Saya kata kita memang bergabung tetapi kita belum maklum.
“Hari ini saya ingin memaklumkan bahawa UMNO Sabah telah mengadakan pemukiman pada satu ketika dan kita memutuskan bahawa akan bergabung dengan PH,” katanya di Sabah hari ini.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, selain PH, BN juga terbuka kepada parti lain yang ada keinginan, kesungguhan dan kesetiaan dalam membentuk kerjasama.
Katanya, BN tidak menutup pintu terhadap parti lain namun menegaskan tidak mahu bekerjasama dengan parti tempatan kerana ada isu tertentu yang membuatkan pihaknya membuat keputusan itu. – MalaysiaGazette