Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand kerana disyaki terlibat dalam kes rompakan kedai emas di negara itu, Rabu lepas, disahkan memiliki 10 rekod jenayah lampau, termasuk dikehendaki atas dua kes jenayah berat di Malaysia.

Lelaki berusia 62 tahun itu turut disahkan mempunyai dua rekod dikehendaki Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kes bunuh dan satu lagi kes di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 1969.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kertas siasatan membabitkan lelaki itu sedang disemak sebelum proses ektradisi dilakukan, dan siasatan berhubung kesalahan dilakukannya di Thailand, diserahkan kepada pihak berkuasa negara itu.

“Penahanan lelaki itu telah dimaklumkan sebaik sahaja dia ditahan di Bangkok, Thailand atas kesalahan samun bersenjata di Hat Yai.

“Lelaki tersebut masih berada di lokap Hatyai untuk siasatan dan kami akan meneliti lanjut kesalahan yang dilakukannya di negara ini bagi tindakan ekstradisi,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Razarudin berkata semakan lanjut mendapati lelaki terbabit tidak tinggal di Malaysia dan turut dikesan menggunakan dokumen palsu untuk bersembunyi di Thailand.

Beliau berkata ketika tangkapan dibuat pihak berkuasa Thailand, lelaki itu dikesan memiliki kad pengenalan Thailand disyaki palsu serta tiada MyKad atau pasport negara ini.

Pada 9 April lepas, polis Thailand mengesahkan seorang lelaki warga emas ditahan di daerah Nonthaburi, Bangkok, Thailand selepas disyaki terlibat dalam kes rompakan kedai emas di Hat Yai, Thailand. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here