KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkongsi video di laman sosial Facebook berkenaan kejadian sebuah rumah yang dibaling bom petrol selepas penyewanya didakwa terjerat dengan hutang ah long.
Sambil melahirkan kebimbangan dengan insiden itu, beliau menggesa polis untuk mengambil tindakan segera dan tegas berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, kejadian itu bukan sekadar satu ugutan sebaliknya adalah satu jenayah serius yang mengancam keselamatan awam dan mencabuli kedaulatan undang-undang.
“Kuala Lumpur tidak boleh menjadi medan bebas untuk samseng atau sindiket ah long rentas sempadan. Pihak berkuasa mesti bertindak tanpa berlengah untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan,” katanya.
Mengulas mengenai video itu, Lip Eng berkata, serangan bom petrol tersebut melibatkan rumah sewa seorang wanita dan disyaki dilakukan seorang runner tempatan yang bertindak bagi pihak ah long yang berpusat di Singapura.
Menurutnya, dalam perbuatan ugutan jenayah itu, penyerang tersebut telah merakam perbuatannya dan menghantar video berkenaan kepada mangsa sambil memberi amaran jika hutang tidak dibayar, mereka akan datang semula setiap hari untuk mengganggu.
Jelasnya, mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut. – MalaysiaGazette
Video Berkaitan