Al-Sultan Abdullah ketika menyampaikan titah ucapan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembelin.- Foto FB Kesultanan Pahang.

KUALA LUMPUR – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kemurkaan terhadap insiden pencerobohan tanah di negeri itu.

Baginda bertitah supaya rakyat melaporkan segera jika terdapat pihak yang melakukan pencerobohan ke atas tanah di negeri Pahang.

Al-Sultan Abdullah menegaskan, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pihak yang meneroka tanah di negeri itu secara haram.

“Jagalah negeri kita, jagalah bumi Pahang kita dengan sebaik mungkin. Jadilah mata dan telinga kepada Sultan Pahang. Jangan bagi orang meneceroboh tanah-tanah negeri Pahang ini.

“Saya pun naik darah banyak orang menceroboh tanah di Pahang. Sudah sampai masanya kita berkeras dengan mereka yang menceroboh tanah di negeri Pahang ini. Kita akan bertindak sedemikian dan akan selesai secara baik,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut semalam.

Petikan titah baginda turut dikongsi dalam bentuk video di media rasmi Kesultanan Pahang.

Ketika ini, isu pencerohonan pekebun durian haram di Raub menjadi perhatian banyak pihak dengan dengan dakwaan terbaharu pihak terbabit menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.

Media melaporkan, polis akan memanggil lima individu termasuk Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, bagi membantu siasatan kes dakwaan penjawat awam dihalang menjalankan tugas ketika operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian di Raub baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abd Rahman, berkata Yu Hui yang juga Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA) akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Polis sebelum ini memaklumkan telah menerima tiga laporan dibuat pegawai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), pihak polis dan badan bukan kerajaan (NGO).

Pekebun durian haram didakwa menghalang laluan dengan membawa kain rentang bagi menunjukkan ketidakpuasan hati kerana penguat kuasa memusnahkan tanaman mereka yang berusia puluhan tahun, namun keadaan berjaya dikawal tanpa sebarang insiden.

Kerajaan Pahang menafikan telah melanggar perintah mahkamah apabila menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Sungai Klau, Raub, 8 April lalu.

Media turut melaporkan, SAMKA mengumpulkan sekitar 400 tandatangan dalam tempoh kurang tiga jam sebagai tanda sokongan kepada petisyen mendesak agar operasi penebangan pokok durian oleh UPNP dihentikan.

Petisyen itu dibuat sehari selepas berlaku ketegangan antara pekebun durian haram dan anggota UPNP di kawasan pertikaian berhampiran Sungai Klau, Raub ketika penguat kuasa menjalankan operasi menebang pokok Musang King.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here