KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini, projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang, diperolehi syarikatnya bukan secara kebetulan.
Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 66, berkata, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) miliknya mendapat kelebihan memasuki tender kerana beliau sahaja yang menghadiri tiga mesyuarat pada 2011 berkaitan projek tersebut.

Sehubungan itu, Zarul Ahmad yang ketika itu pengarah CZCSB berkata, tiada sebab untuk berdendam dengan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sebaliknya beliau terhutang budi dengan pemimpin politik itu yang membantunya mendapatkan keuntungan.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes rasuah projek pembinaan tiga jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.
Wan Shaharuddin: Akhirnya siapa yang dapat projek itu?
Zarul Ahmad: Saya.
Wan Shaharuddin: Mengambil kira semua itu, adakah ia satu kebetulan?
Zarul Ahmad: Tidak.
Wan Shaharuddin: Adakah Datuk Zarul rugi dalam projek itu?
Zarul Ahmad: Tidak.
Menjawab soalan Wan Shaharuddin siapakah yang rugi, Zarul Ahmad menjawab: “Kajian mengenai projek tersebut belum siap, namun saya telah menerima dua lot tanah, boleh cakap kerajaan negeri (Pulau Pinang) yang rugi dan sehingga kini reka bentuk terperinci projek tersebut belum siap lagi”.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng 64, didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 14 Mei ini. – MalaysiaGazette