KUALA LUMPUR – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyasarkan pendaratan tuna mencecah 150,000 tan metrik menjelang tahun 2030, disokong oleh pembangunan infrastruktur, pematuhan piawaian antarabangsa serta penghasilan produk berinovasi berasaskan tuna tempatan.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Datuk Adnan Hussain berkata, sasaran itu dibuat dalam perancangan Pelan Strategik Industri Tuna 2021–2030 yang turut merangkumi pematuhan piawaian antarabangsa (IOTC), pembangunan spesifikasi vesel dan peralatan
moden, sistem kawalan perikanan, serta peningkatan kapasiti pemprosesan dan nilai tambah produk.
Menurutnya, sehingga tahun 2023, pendaratan tuna oseanik Malaysia direkodkan sebanyak 3,018.42 tan metrik, melibatkan aktiviti perikanan di Lautan Hindi serta kawasan laut dalam Sabah, Sarawak dan Labuan.
Spesies utama tuna oseanik termasuk Yellowfin, Albacore, Big Eye dan Skipjack, selain kategori tuna-like yang turut menyumbang kepada industri ini mencatatkan pendaratan sebanyak 13,909.85 tan metrik.
Menurutnya, kategori ini merangkumi spesies seperti mersuji, layaran, barracuda oseanik, ikan layar oseanik, marlin, todak dan lain-
lain.
Pendaratan tuna di Pulau Pinang bagi tahun 2024 juga mencatatkan perkembangan positif dengan jumlah sebanyak 431 tan metrik setakat ini, ujarnya.
“Kita mahu melihat bukan hanya jumlah pendaratan tuna yang meningkat, tetapi juga peningkatan dari segi nilai komersial dan penerimaan pengguna terhadap produk tuna.
“Inovasi seperti ‘tuna golek’ adalah antara usaha memperkenalkan kaedah penyediaan sihat, moden dan menarik yang mampu menembusi pelbagai segmen pasaran,” katanya sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Jabatan bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hari ini.
Salah satu inisiatif yang diketengahkan dalam majlis ini ialah Tuna Golek, iaitu tuna panggang yang mengekalkan rasa asli ikan tanpa penggunaan minyak berlebihan, sekali gus menjadikannya alternatif sihat untuk pengguna.
Tuna merupakan sumber protein laut yang berkualiti tinggi dan digemari ramai dan kandungan nutriennya yang tinggi, termasuk protein, asid lemak omega-3, vitamin B12, D, zat besi, dan selenium menjadikan tuna sebagai makanan pilihan untuk gaya hidup sihat.
Setiap 100 gram tuna mengandungi lebih 28 gram protein, rendah lemak, hampir tiada karbohidrat, dan rendah kalori menjadikannya sesuai untuk semua lapisan masyarakat. – MalaysiaGazette