KUALA LUMPUR – Empat bekas Perdana Menteri hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara di sini hari ini.
Bermula dengan Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak antara terawal bagi menziarahi jenazah Abdullah pada pukul 10.40 pagi.

Kehadiran bekas perdana menteri keenam itu selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonannya untuk memberi penghormatan terakhir dan menghadiri pengebumian Allahyar yang mesra sebagai Pak Lah.
Selepas itu, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir sebelum diikuti Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula tiba kira-kira 12.35 tengah hari.

Kesemua pemimpin berkenaan meluangkan masa beberapa minit bertemu ahli keluarga Abdullah yang berada di sisi jenazah Allahyarham sepanjang upacara penghormatan berlangsung.
Isteri Tun Abdullah, Tun Jeanne Abdullah, anak perempuannya Nori Abdullah bersama suami, Khairy Jamaluddin antara ahli keluarga yang berada di sisi jenazah Allahyarham sepanjang upacara penghormatan terakhir di Dewan Solat Utama Masjid Negara.
Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 7.10 malam tadi. – MalaysiaGazette