Datuk N Sivakumar Nadarajah.

KUALA LUMPUR – Pengurusan rumah ibadat bukan Islam diseru agar lebih bertanggungjawab, memahami proses perundangan dan segera mendampingi wakil rakyat mereka bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan khususnya melibatkan status tanah, dokumentasi atau pentadbiran institusi keagamaan.

Presiden Majlis Kuil-Kuil Hindu dan Persatuan-Persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), Datuk N Sivakumar menegaskan, peranan wakil rakyat adalah jauh lebih berkesan dan berkuasa berbanding pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyelesaikan kemelut yang melibatkan rumah ibadat.

“Ramai pengurusan kuil mengadu isu mereka tidak dapat diselesaikan oleh NGO Hindu. NGO hanya boleh bersuara, tetapi mereka tidak ada kuasa.

“Satu-satunya jalan ialah berjumpa terus dengan wakil rakyat anda. Mereka ada kuasa, akses kepada pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan dan Exco kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Sivakumar,  rumah ibadat terutamanya kuil bukanlah entiti baharu di negara ini sebaliknya telah lama wujud sejak zaman penjajahan British lagi sebagai pusat kerohanian dan budaya masyarakat India.

Namun katanya, kelalaian sesetengah pihak pengurusan dalam menyelenggara dokumentasi rasmi seperti surat hak milik, pendaftaran dan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan boleh mengundang pelbagai masalah termasuklah isu pemilikan tanah dan kelulusan peruntukan.

“Jika pengurusan baharu tidak mengambil alih dokumen penting dengan betul, ia boleh menyebabkan kesulitan besar dalam pengurusan rumah ibadat. Setiap ahli jawatan kuasa perlu peka dan teliti,” katanya lagi.

Sivakumar turut menegur sesetengah masyarakat yang keliru antara peranan NGO dan wakil rakyat, menyarankan agar rakyat lebih celik tentang kuasa politik yang sebenar.

“Wakil rakyatlah orang yang anda percaya dan pilih semasa pilihan raya. Jadi apabila berlaku masalah, kembalilah kepada mereka. Jika mereka tak bantu, rakyat ada kuasa untuk membuat keputusan semasa pilihan raya akan datang,” tegasnya.

Katanya lagi, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang harmoni harus mengekalkan keharmonian tersebut melalui sistem pentadbiran yang adil, dengan kerjasama erat antara pengurusan rumah ibadat dan wakil rakyat tempatan.

“Saya sendiri berada di Kuala Lumpur, tidak boleh bantu isu kuil di Kedah kerana perbezaan pentadbiran dan sistem. Hanya wakil rakyat di kawasan itu tahu struktur yang betul. Jadi, capailah mereka, kerana mereka suara anda di Dewan,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast