Mohd Shuhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan mangsa culik di Seremban, Negeri Sembilan telah disorokkan dalam bagasi sebelum dilarikan.

Beliau berkata, mangsa berusia 16 tahun itu diculik ketika berjalan seorang diri ke kedai serbaneka di Uptown Avenue, Seremban 2 pada 10 April, dan disorokkan dalam bagasi bagi mengelakkan dikesan.

“Mangsa bersama ibunya sebelum itu telah pergi ke sebuah salun di kawasan sama. Dalam perjalanan ke kedai serbaneka, mangsa telah diculik dua orang lelaki dan dimasukkan ke dalam kenderaan sebelum melarikan diri.

“Ibu mangsa seterusnya telah menghubungi bapanya (datuk mangsa) yang kemudiannya membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, ibu mangsa kemudian menerima panggilan daripada penjenayah yang menuntut wang tebusan RM2 juta dan telah membayar RM280,000 serta menyerahkan beberapa barang emas pada 11 April.

Beliau berkata, selain enam suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia 20 hingga 31 tahun itu, polis turut memperoleh semula wang tebusan RM180,000.

Menurut beliau, polis turut merampas beberapa telefon bimbit dan pengesan logam dipercayai digunakan penjenayah untuk mengesan beg yang digunakan untuk membayar tebusan dipasang alat pengesan.

Mohd Shuhaily berkata siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 setakat ini mendapati kes penculikan dipercayai didalangi seorang wanita daripada enam suspek berkenaan dan giat memburu seorang lagi suspek lelaki.

Semalam, seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes culik membabitkan remaja berusia 16 tahun itu maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here